Tiada kesan negatif kepada pengguna

Tiada kesan negatif kepada pengguna RADIASI yang dihasilkan gelombang daripada stesen pemancar oleh ketiga-tiga pengendali telekomunikasi iaitu Maxis, Celcom dan DiGi adalah kurang daripada tahap yang ditetapkan.

Kajian yang dilakukan dari semasa ke semasa oleh Universiti Tenaga Nasional (Uniten) mendapati gelombang yang dipancarkan tidak mendatangkan kesan negatif kepada pengguna.

Pengarah Pusat Penyelidikan Radiasi Frekuensi Radio Uniten, Prof Madya Dr. Md. Zaini Jamaludin berkata, ujian radiasi mendapati nilai bacaan yang diambil di kawasan aduan tidak pernah melebihi tahap bahaya, walaupun berada berhampiran menara.

"Tanggapan masyarakat mengenai menara telekomunikasi hanyalah kesan psikologi dan maklumat tidak benar dari faktor sekeliling," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui pada program taklimat Agenda Radio Frekuensi (RF) antara Media dan Industri di Pulau Pangkor, Perak baru-baru ini.

Katanya, Uniten telah menjalinkan kerjasama dengan SKMM terutama dalam program berkaitan radiasi RF.

"Ini melibatkan pelbagai ujian bagi memastikan keselamatan penduduk serta menangkis tanggapan negatif mengenai tahap radiasi frekuensi radio (RF) yang dikeluarkan oleh menara pemancar serta peralatan yang berkaitan," katanya.

Setiap kali SKMM menerima aduan, ujian akan dijalankan di lokasi berkenaan menggunakan peralatan terkini dan termaju mengikut standard antarabangsa.

Bagaimanapun sebagai langkah berjaga-jaga, Dr. Md Zaini menegaskan audit tahunan mesti dilaksanakan serta ujian mestilah dijalankan ke atas lebih banyak stesen pangkalan.

Pada program yang sama, Profesor Dr Kwan-Hoong Ng, dari Jabatan Pengimejan Bioperubatan, Universiti Malaya, berkata, terdapat dua jenis radiasi iaitu radiasi berion dan tak berion.

"Radiasi berion memiliki tenaga yang cukup untuk mengubah tindak balas kimia pada tubuh badan dan memberi kesan kepanasan melampau seperti sinaran Gama dan sinaran X (X-ray).

"Radiasi tak berion tidak memiliki tenaga yang cukup untuk menyebabkan pengionan dalam jirim hidup dan tidak mendatangkan kesan buruk pada manusia," katanya.

Contoh radiasi RF adalah daripada pemancar televisyen, radio dan telekomunikasi.

Spektrum medan elektromagnet (EMF) bagi elektrik statik dan medan magnetik ialah 0 Hertz (Hz) dan medan frekuensi paling rendah ialah di antara 0 Hz hingga 300 Hz.

Manakala radiasi RF dan gelombang mikro (MW) ialah antara 300Hz hingga 300GHz.

"Setiap pancaran RF akan menghasilkan medan elektromagnet (EMF) yang dikira dalam bentuk voltan semeter persegi (Vm2).

"Apabila RF melalui badan kita, sebahagian tenaga akan diserap, sementara jumlah tenaga yang terkumpul di dalam tisu badan bergantung ke atas frekuensi radiasi.

"Misalnya kadar radiasi 1GHz, hampir semua tenaga diserap ke lapisan pertama dua hingga tiga sentimeter tisu badan," katanya lagi ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Apakah Had Dedahan RF? - Standard Tempatan dan Antarabangsa.

Paras selamat yang ditetapkan ICNIRP adalah ketumpatan kuasa tidak boleh melebihi 4.5 watt semeter persegi (W/m2) untuk 900Mhz, 9 W/m2 untuk 1900MHz dan 10 W/m2 untuk 2000MHz.

Ujian Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) membuktikan purata bacaan radiasi di kawasan sekitar pemancar telekomunikasi di Semenanjung Malaysia ialah 0.000093 W/m2 bersamaan 0.002 peratus daripada jumlah pendedahan minimum yang dibenarkan ICNIRP.

Menurut beliau negara sedang membangunkan standard pendedahan RF yang kebanyakannya mengikut standard ICNIRP.

Tiada kesan negatif kepada pengguna Sementara itu Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Keselamatan Sinaran, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr. Pirunthavany Muthuvelu berharap orang ramai mengambil langkah berhati-hati dengan pelbagai peralatan komunikasi terutama telefon bimbit.

"Jangan dedahkan kanak-kanak dengan telefon bimbit kerana mereka memiliki sel tisu yang sedang berkembang terutamanya di bahagian otak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan tumbesaran," katanya yang ditemui pada program yang sama.

Menyentuh kaitan telefon bimbit dengan kanser otak, Dr Piruthavany berkata, saintis belum memberikan kata putus kerana ia masih memerlukan lebih banyak penyelidikan.

"Kita boleh mendapatkan banyak maklumat mengenainya di Internet, ada yang menyarankan supaya kurangkan tempoh penggunaan telefon bimbit, gunakan kit bebas tangan dan jangan letakkan di dalam poket," katanya.

Sumber: Megabait, Utusan Malaysia, 6 Disember 2010

Previous
Next Post »