Berbaloi membeli jam pintar?

Smartwatch sony

 

Istilah jam pintar (smartwatch) mula tercetus apabila pelbagai fungsi dimuatkan pada seutas jam. Seingat penulis sewaktu zaman kanak-kanak dahulu, jam paling hebat dan mengagumkan adalah jam berbutang banyak, punya fungsi kalkulator dan boleh mendengar radio. Apabila ke sekolah, boleh berlagak dengan kawan-kawan yang lain. Hahaha…

Kini kewujudan jam pintar menjadi tarikan baharu kepada pengguna apabila Samsung Galaxy Gear dijual di pasaran dengan harga RM999. Idea jam pintar timbul apabila iPod Nano generasi ke-6 boleh dijadikan jam dengan menambah aksesori jalur pergelangan tangan. Jadi, pengguna tidak perlu membazirkan wang untuk memiliki beberapa jam untuk disesuaikan dengan acara yang dihadiri. Sebaliknya, pengguna cuma perlu membeli aksesori jalur pergelangan tangan buatan berbeza dan digandingkan bersama iPod Nano.

Tim Cooks juga ada menyebut Apple akan menghasilkan iWatch menjelang tahun 2014. Intel, LG dan Google juga berminat untuk menghasilkan model jam pintar sendiri. 

Persoalannya, berbaloikah saudara membeli jam pintar sebagai gajet peribadi? Teknomasi cuba memberikan pelbagai perspektif tentang jam pintar buat masa sekarang.

 

1. Terlalu mahal

Galaxy Gear berharga RM999. Sony SmartWatch dalam lingkungan RM780 hingga RM850. Tahukah anda, harga sedemikian rupa saudara sudah mampu untuk memiliki telefon pintar yang berharga bawah RM1000? Selain itu, harga sedemikian pastinya akan turun menjunam dari masa ke masa. Buat apa beli sekarang?

 

2. Bateri cepat habis

Pengguna telefon pintar seringkali merungut masalah bateri cepat habis dalam tempoh sehari apabila kerap digunakan. Adakah masalah ini akan dihadapi pengguna jam pintar? Ya. Masalah ini akan menyusahkan pengguna. Telefon perlu dicaj setiap hari, jam pun perlu dicaj dengan kerap? Ironinya, jam pintar saudara hanya akan menjadi gelang tangan biasa apabila baterinya sudah habis. Jauh berbeza daripada jam tangan biasa yang boleh bertahan beberapa tahun. 

 

3. Aplikasi terhad

Walaupun jam pintar mempunyai keupayaan untuk memuat turun aplikasi. Namun begitu, masih tidak praktikal pada pendapat penulis. Skrin jam pintar yang kecil akan menghadkan Apple dan Google untuk menghasilkan banyak aplikasi yang sesuai.

 

4. Reka bentuk seperti jam tangan konvensional

Apabila kita membayar produk dengan harga premium, mestilah kita mengharapkan sesuatu yang menarik dan lebih baik daripada jam biasa. Barangkali umpama jam Power Rangers? LOL

 

Kesimpulannya, jam pintar tidak berbaloi untuk dibeli buat masa sekarang. Apatah lagi Apple akan melancarkan iWatch pada tahun depan dan pemain-pemain industri yang lain tidak akan berdiam diri sahaja. Biasanya Apple menawarkan sesuatu yang menarik dan inovatif. Selain itu, lambakan model jam pintar di pasaran akan merasionalkan harganya pada masa depan. Secara peribadi, penulis masih mengharapkan iPod Nano generasi ke-6 dijual lagi bersama-sama aksesori jalur pergelangan tangan. Fungsinya yang praktikal dengan identiti seutas jam dan boleh diganti dengan pelbagai jenis buatan kulit, plastik atau besi jalur pergelangan tangan. 

Previous
Next Post »