Harga komputer riba India cuma RM111

NEW DELHI - India berjaya menghasilkan komputer riba dengan teknologi skrin sentuh yang bakal dijual pada harga sekitar AS$35 (RM111) seunit.

Kapil Sabil menunjukkan prototaip komputer riba tersebut.

Komputer riba itu dihasilkan melalui kerjasama Institut Teknologi India dan Institut Sains India untuk kegunaan mahasiswa bermula tahun hadapan, sebelum dijual kepada golongan murid dan pelajar.

Jurucakap Kementerian Pelajaran, Mamta Verma berkata, kerajaan juga bercadang memasang kemudahan jalur lebar di kesemua 22,000 kolej seluruh negara untuk memenuhi keperluan dan perkembangan semasa dunia pendidikan.

Antara aplikasi yang tersedia dalam komputer riba edisi khas ini adalah pelayar Internet dan kemudahan sidang video. Kos menghasilkan komputer riba berkenaan akan disubsidikan kerajaan supaya mampu dibeli pelajar dan mahasiswa.

"Usaha juga sedang diambil untuk mengurangkan kos pembuatan dengan cara menggunakan teknologi tempatan supaya komputer riba ini boleh dijual pada harga serendah AS$10 (RM32)," kata Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Kapil Sabil semasa melancarkan komputer riba berkenaan di New Delhi pada 22 Julai lalu.

Sumber: Sinar Harian, 25 Julai 2010

Previous
Next Post »