Kenalilah perkakasan komputer anda

Kebanyakan pengguna kurang mengambil tahu nama-nama perkakasan yang terdapat pada sesebuah komputer meja atau komputer riba. Umum mengenali Unit Pemprosesan Pusat (CPU) dan RAM sahaja. Itu pun berdasarkan percakapan dengan jurujual atau spesifikasi yang dinyatakan pada sudut komputer. Jarang benar pengguna mengambil tahu melainkan saudara merupakan peminat teknologi maklumat dan komunikasi tegar, juruteknik dan pakar komputer.


Ada juga kalangan jurujual di Lowyat, Digitall Mall dan Midvalley (kini sudah ditutup dan dijadikan medan makan) yang saya dapati tidak tahu apa-apa langsung tentang perkakasan komputer yang dijual. Bahkan, mencadangkan pula kepada kita itulah yang terbaik kononnya. Apabila ditanya dengan lebih lanjut, banyak perkara yang cuba dialih atau berdiam diri. Kalau saya berjumpa dengan jurujual sebegini terus saya bertanyakan kepada tuan kedai atau ke tempat lain. Buang masa sahaja bercakap dengan jurujual yang tidak tahu apatah lagi mengerti tentang perkakasan komputer.

Bagi pemilik yang tidak tahu, risiko untuk ditipu, dimanipulasi dan diperdaya peratusannya sangat tinggi. Bukan semuanya jurujual jujur dalam berniaga. Tidak lebih daripada mahu keuntungan semata-mata. Pengalaman saya sepanjang berkecimpung dunia pembikinan komputer sendiri telah ditipu sebanyak tiga kali; 2 kali tertipu, sekali hampir ditipu.

Jenis-jenis perkakasan yang ada dalam sesebuah komputer

Kes pertama, ketika saya mahu menaik taraf RAM daripada 1GB kepada 1.5GB. Kejadian berlaku di Lowyat. Nama kedai kurang pasti dan jurujualnya Melayu. Oleh sebab itulah pengalaman saya yang pertama membeli RAM, saya mengambil jalan yang mudah mencari ram 512MB dengan harga murah. Tiba di satu kedai, saya bertanyakan kepada jurujual dan dia mengesyorkan RAM tersebut. Lalu saya membeli dan membawa pulang untuk memasang. Ketika itu saya baru mula berjinak-jinak dengan pemasangan perkakasan komputer dan memformat Windows. Jadi, saya meminta pertolongan sahabat baik saya, saudara Naim untuk memasang. Rupa-rupanya RAM yang diberi adalah terpakai. Sudahlah terpakai, tiada jenama pula. Nasib baiklah RAM tersebut boleh berfungsi.

Kes kedua, penukaran Unit Pembekal Kuasa (PSU) daripada jenis ‘cap ayam’ kepada berjenama dan berkualiti. Kejadian di lowyat, nama kedai kurang pasti, jurujualnya juga Melayu. Ketika sedang membuat tinjauan dan pilihan berdasarkan belanjawan yang ada, saya memilih untuk membeli PSU jenama Power Logic 400 watt. Ketika proses pembungkusan, saya tidak menyedari bahawa jurujual menukar PSU yang dibeli. Saudara Ammar yang tolong pasangkan menyedari bahawa PSU yang dibeli adalah terpakai berdasarkan pelekat waranti terkoyak cantik menunjukkan bahawa PSU tersebut pernah rosak dan diperbaiki semula. Patutlah PSU tersebut tiada kotak, cuma diisi dalam plastik hitam sahaja. Walau bagaimanapun, nasib saya masih baik kerana PSU boleh berfungsi.

Kedudukan perkakasan komputer dalam casing

Kes ketiga, membeli RAM Kingston 2GB. Lokasi di kedai Sri Computers Sdn. Bhd., Lowyat. Jurujualnya Cina. Kali ini saya nyaris-nyaris ditipu. Semasa memilih RAM di rak, dia bergerak ke tempat lain untuk mendapatkan RAM. Walhal, banyak lagi dalam rak tersebut. Untuk mengelakkan diri daripada menjadi watak Tipah Tertipu kali ketiga, saya terus keluar dan membelinya di All-It Hypermarket Sdn. Bhd. dengan harga yang mahal sedikit. Tidak mengapa, asalkan kualiti dan waranti terjamin.

Selepas 3 peristiwa yang berlaku, banyak pengajaran yang saya pelajari. Kebiasaanya, saya akan merujuk teman-teman yang memiliki kepakaran dan melayari internet menerusi Google terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk membeli sesuatu perkakasan komputer. Banyak pautan pandangan dan komentar yang boleh dirujuk. Secara tidak langsung, saya dapat membuat pilihan terbaik dan berkualiti tinggi dengan membeli pada harga yang murah.

Kedudukan perkakasan komputer pada papan ibu (motherboard)
Saya yakin dan percaya bahawa pemilik komputer yang tidak tahu dan memahami perkakasan komputer akan mengalami dilema dan kesukaran bilamana berlakunya kerosakan. Langkah yang sering diambil ialah membawa ke kedai untuk diperbaiki sekalipun cuma terkena virus jenis autorun. Juruteknik yang memperbaiki pula ada yang mengenakan caj yang tidak masuk akal sekalipun menggunakan perisian yang diperolehi daripada internet secara percuma sahaja. Walhal, saudara juga boleh akses ke internet untuk mendapatkan solusinya. Tidaklah sesukar mana melainkan saudara sememangnya diakui sebagai orang yang malas.

Untuk kerosakan perkakasan komputer riba, saudara perlu menghantar ke kedai atau pusat servis yang dipilih. Juruteknik akan menyemak dan menyarankan langkah terbaik untuk pembaikan dan pemulihan kepada saudara. Bagi pemilik yang tidak atau kurang mengetahui akan terkebil-kebil sahaja mendengar dan terus mengiakan asalkan komputer mampu beroperasi semula. Kadang kala terdapat juruteknik cuba menipu untuk mendapat keuntungan atau menukar ganti perkakasan komputer saudara yang lebih hebat dengan perkakasan yang telah rosak, terpakai, diperbaiki semula dan sebagainya ke dalam kelengkapan komputer saudara. Hal ini kerana teman saya pernah ditipu setelah memperbaiki di kedai bilamana cakera keras dan RAM ditukar tanpa diberitahu dengan model yang lain atau dengan perkataan lain murah dan tidak berkualiti. Hati-hatilah.

Previous
Next Post »

2 Komentar

Write Komentar
Tanpa Nama
AUTHOR
Ahad, Mac 04, 2012 5:23:00 PTG delete

terbaik bro

Reply
avatar