Cara keji berniaga di Facebook

Berniaga merupakan sebahagian ibadah yang dituntut oleh junjungan besar baginda, Muhammad SAW. Perkembangan dunia semasa telah memberi variasi inovasi kepada peniaga produk atau barangan menerusi Facebook.

Dengan bilangan pengunjung Facebook yang sangat besar, potensi barang yang dipamerkan mudah untuk dilihat dan dipilih oleh yang berminat untuk membeli. Ramai rakan penulis yang menjual produk atau barangan mereka seperti tudung, kamera, gajet dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya dengan memasarkan di profil penulis di laman sosial tersebut.

Cara keji berniaga di Facebook

Malangnya, terdapat segelintir pengguna yang tidak faham bahasa, tidak tahu adab dan bersopan-santun serta beretika ketika mempromosikan produk atau barangan yang ingin dijual. Sudahlah tidak meminta izin kebenaran, sesuka hati menanda (tag) gambar pada nama-nama individu berpengaruh atau memiliki ramai teman untuk dipasarkan produk atau barangan yang dijual. Seolah-olah individu tersebut tidak berasa apa-apa.

Padahal, sikap sedemikian merupakan satu bentuk pencabulan privasi secara tidak langsung selain menyusahkan pemilik tersebut dengan e-mel pemberitahuan yang tiada kaitan masuk memenuhi dalam peti masuk e-mel. Satu bebanan pula kepada pemilik untuk membuang tanda dan e-mel pemberitahuan tadi.

Kalau penulis, mudah sahaja. Terus penulis buang orang tersebut daripada senarai rakan. Tindakan kurang ajar perlu ‘diajar’ supaya tahu berbudi bahasa. Apalah salahnya memohon kebenaran untuk menumpang populariti pemilik mempromosikan produk atau barangan yang dijual? Atau memberi kredit dalam bentuk ganjaran atau dibayar atas kesudian mengiklankan barangan saudara? Bukankah itu lebih baik?

Janganlah sesekali mencuba mempromosikan program jutawan, MLM dan berkaitan dengannya yang karut-marut. Cukup-cukuplah menjaja kemewahan walhal tujuan kalian tidak lebih daripada mahu mencari talian-turun (downline) sahaja. Tiada berkatnya kaya atas kesusahan orang lain.

Kesimpulannya, gunalah Facebook dengan baik dan berhikmah jika mahu berniaga. Bukan hentam keromo, sesuka hati menggunakan orang lain sebagai batu loncatan!

Previous
Next Post »

1 Komentar:

Write Komentar
Azeri
AUTHOR
Khamis, Ogos 11, 2011 10:17:00 PG delete

Betul tu. Saya memang tak gemar orang tag gambar produk mereka sesuka hati di wall FB saya. Ia umpama datang ke rumah orang kemudian dia pergi cat rumah kita dengan warna sesuka hati mereka.

Kalau betul ingin berniaga di Facebook biarlah dilakukan dengan cara yang betul dan berhemah.

Biasanya kalau dah di delete tag atau spam di wall tetapi masih buat jugak. Unfriend terus.

Macammanapun terima kasih kerana kerana berkongsi luahan perasaan. Kepada mereka yang suka tag sana tag sini tu berhati-hati ye kalau nak berfacebook. Sekarang ni pun Facebook dah mula gandakan tapisan atau pengawalan dari masa ke semasa.

Reply
avatar