Tips modifikasi komputer peribadi (siri 1)

Artikel kali ini Teknomasi akan berkongsi ilmu tentang modifikasi komputer peribadi. Pengalaman yang sedikit ini mungkin dapat membantu saudara yang mahu mencuba langkah pertama memasang komputer sendiri. Artikel ini terpaksa dibahagi-bahagikan kepada beberapa siri kerana memerlukan penerangan yang terperinci. Insyallah, sekiranya diberi kelapangan waktu dan kesenggangan masa tutorial video akan dibuat untuk memudahkan pembaca memasang atau memodifikasi komputer sendiri. Sekiranya berminat, boleh memberitahu di ruangan komentar.

Tips modifikasi komputer (siri 1)

Lazimnya, modifikasi komputer peribadi sangat disukai oleh pemain permainan video dan peminat gajet yang tegar. Proses pengubahsuaian dan naik taraf dilakukan demi memenuhi tuntutan spesifikasi terkini dan permainan video semasa yang sentiasa meningkat kualitinya dari masa ke masa.

Awal tahun 2000, mungkin permainan video tidak memerlukan kad grafik untuk bermain kerana menggunakan konsep 2D. Namun kini, kad grafik merupakan antara perkakas WAJIB dipasang selain papan induk, ram, unit bekalan kuasa, pemproses dan cakera keras supaya grafiknya lebih cantik dan membolehkan permainan 3D.

Hal ini bukan sahaja dapat memenuhi kehendak si pemain malahan dapat menjimatkan kos sekiranya dipasang sendiri berbanding dipasang oleh kedai atau membeli komputer set lengkap  berjenama seperti HP dan Dell.

Mungkin ramai yang tertanya-tanya, “Apakah bezanya antara membeli komputer set lengkap daripada jenama terkemuka dengan komputer yang dipasang sendiri?”

Komputer set lengkap daripada jenama terkemuka bermaksud semua perkakasan yang digunakan dalam sistem tersebut sepenuhnya menggunakan jenama yang sama.

Contoh Komputer Set Lengkap HP

 

 

Contohnya, set lengkap komputer HP. Dalam sistem tersebut mengandungi pemain CD/DVD HP, bekas CPU HP, papan kekunci HP, tetikus HP dan pendek kata semuanya berasaskan HP (atau mungkin juga terdapat beberapa komponen yang menggunakan jenama lain seperti ram).

Komputer jenis ini mempunyai waranti yang tersendiri. Selain itu, naik taraf dan pengubahsuaian tidak boleh dilakukan sesuka hati kerana kesesuaian papan induknya dengan perkakas di pasaran tidak serasi. Komputer jenis ini hanya boleh diperbaiki oleh pengedar jenama yang dibeli sahaja atau dinaik taraf semasa proses pembelian.

Untuk jangka masa panjang, komputer jenis ini tidak sesuai dengan perkembangan teknologi yang sentiasa berkembang. Apabila mencecah 5 tahun, spesifikasinya sudah ketinggalan zaman dan hanya menunggu masa untuk dibuang. :))

Walau bagaimanapun, komputer jenis ini dikatakan mampu bertahan lebih lama kerana jurutera pengeluar telah mereka bentuk sistem komputer tersendiri. Namun begitu, faktor harga dengan spesifikasi yang ditawarkan kadangkala agak keterlaluan lebih mahal daripada spesifikasi komputer yang dipasang sendiri.

Sekiranya saudara merupakan peminat permainan video yang tegar dan mementingkan penjimatan, Teknomasi sangat-sangat menyarankan supaya memilih komputer yang dipasang sendiri. Ianya juga turut dikenali sebagai Customize PC.

Maksud komputer yang dipasang sendiri ialah saudara membeli perkakas komputer dan memasangnya sendiri di rumah atau meminta kedai untuk memasangnya mengikut citarasa sendiri.

Contoh komputer yang dipasang sendiri

Memiliki kemahiran untuk memasang sendiri lebih menjimatkan kerana kedai akan mengenakan caj pemasangan sebanyak RM50-100 setiap set komputer atau dikhuatiri ditipu semasa proses pemasangan (pilih jenama lain, pasang jenama lain).

Sebenarnya tidaklah sesukar mana untuk memasang komputer sendiri. Sekadar tahu jenis-jenis perkakasan dan pilihan jenama terbaik sudah mencukupi. Pemasangan akan dibuat berdasarkan buku manual yang diberi. Selalunya, kebanyakkan rakyat Malaysia jarang membaca buku manual apabila membeli sesuatu barang elektrik atau gajet. Apabila salah guna cara dan timbul masalah tidak keruan jadinya.

Komputer yang dipasang sendiri boleh diubah suai dan dinaik taraf pada bila-bila masa selagi ada ongkosnya. Selain itu, penjimatan akan berlaku dan rasa lebih berbaloi dengan citarasa saudara sesuka hati. Perkakasan untuk komputer yang dipasang sendiri mestilah serasi, yakni papan induk dengan pemprosesnya. Masakan papan induk Intel boleh dipasang dengan pemproses AMD?

Pembelian sesuatu perkakas mestilah bergantung kepada papan induk yang digunakan. Kebiasaannya, buku manual di dalam kotak papan induk akan menerangkan jenis pemproses, ram, cakera keras dan kad grafik yang sesuai dan serasi dipasang bersama. Oleh itu, sangat penting sekiranya saudara yang ingin mengubahsuai atau naik taraf menghadam lumat-lumat keperluan dan perkakasan yang bakal dibeli mengikut belanjawan yang termampu.

Tidak dinafikan bahawa spesifikasi yang terbaik memerlukan belanjawan yang tinggi sehingga boleh mencecah sehingga RM14,000. Walau bagaimanapun, ukurlah baju di badan sendiri. Jikalau tidak, hari-hari makan megi-lah jawabnya!

Previous
Next Post »