Menonton Hikayat Merong Mahawangsa

Khamis lepas penulis sempat menonton Hikayat Merong Mahawangsa (HMM) bersama Farieza di Big Cinema Kluang Parade.

poster-hikayat-merong-mahawangsa1

Walaupun artikel ini disiar lewat namun ingatan penulis masih kuat untuk bercerita pengalaman sepanjang menonton HMM kepada saudara. Secara peribadi, penulis memberi skor 3.7/5 markah kepada HMM. Hal ini kerana jalan penceritaannya yang baik, susunan muzik latar yang hebat, penggunaan teknik CGI yang menjadi dan beberapa watak yang dibawa oleh pelakon penuh penghayatan.

Walau bagaimanapun, plot penceritaan boleh dikemas lagi dan disusun rapi, beberapa babak tertentu perlu dinilai semula dan sepatutnya HMM menggunakan bahasa Melayu sebagai merekayasakan bahasa kebangsaan, bukannya bahasa Inggeris.

SINOPSIS
Demi menyatukan tamadun Rom dan China menerusi perkahwinan antara Putera Marcus dan Puteri Meng Li Hua, Merong Mahawangsa diminta untuk membantu rombongan Rom yang terdampar di Goa akibat beberapa kapal yang mengiringi karam dalam perjalanan ke Langkasuka.

Puak lanun, Geruda yang mahu kerajaan mereka diiktiraf oleh Rom dan China bertindak menculik Puteri Meng Li Hua sebagai tebusan. Usaha menyelamat dilakukan dengan penyatuan penduduk Langkasuka oleh Merong Mahawangsa dan mengiktiraf beliau sebagai raja.

KELEBIHAN HMM
1. Antara senarai filem terbaik Malaysia.
2. Penggunaan CGI yang menarik.
3. Olahan skrip yang baik dan difahamkan diperbaiki sehingga 7 kali.
4. Lakonan Khir Rahman sebagai antagonis, Kamawas penuh penghayatan.
5. Babak pergaduhan yang hebat dengan bantuan dan khidmat nasihat daripada pasukan pelakon lagak ngeri Hong Kong.
6. Skor muzik yang mengasyikkan daripada Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO).
7. Penterjemahan teks sastera kepada visual dengan perspektif yang berbeza dan moden.

KELEMAHAN HMM
1. Kapal yang membawa Merong Mahawangsa sepatutnya perlu lebih besar lagi sesuai dengan status beliau sebagai ketua. Saiz kapal yang digunakan tidak lebih daripada saiz kapal tunda menangkap ikan di laut.
2. Kesinambungan antara babak ke babak yang lain tidak berjalan lancar.
3. Penggunaan bahasa Melayu dalam HMM sebenarnya dapat mempromosikan budaya kita kepada luar. Malang sekali penyakit 'minda tertawan' berlegar dalam pemikiran dan jati diri penghasil HMM.
4. Pidato Merong Mahawangsa ketika membangkitkan semangat penduduk Langkasuka sedikit mengganggu kerana pelat bercampur loghat Inggeris.
5. Terdapat babak seorang penduduk yang sedang berdiri di atas sampan ketika mendengar pidato Merong Mahawangsa bersusah payah menstabilkan kedudukan kerana bimbang terjatuh.

KESIMPULAN
HMM sangat berbaloi untuk ditonton. Barangkali yang jiwanya mudah tersentuh akan mengalir air mata di hujung penceritaannya. Usaha KRU Studios mengenegahkan filem sebegini seharusnya dipuji kerana kebanyakan rakyat Malaysia sudah muak dengan tema lawak bodoh, tahyul dan cinta geli-geleman.

Sekurang-kurangnya pengarah yang bergelar profesor (kononnya) perlu mendidik penonton dengan sesuatu filem yang mampu berasa bangga denga adat budaya, sejarah dan tradisi bukannya dengan gadis cantik dan seksi atau lawak yang membodohkan orang lain.


- Dikirim menerusi iPad | BlogPress

Previous
Next Post »