Ulasan ASUS Eee PC 1015

Ulasan ASUS Eee PC 1015Bulan lepas sahaja penulis telah membeli tiga buah Netbook berjenama ASUS, iaitu model Eee PC 1015. Pembelian ini bukan untuk kegunaan penulis. Sebaliknya, ahli keluarga dan teman-teman meminta tolong membeli sebuah seorang dengan anggaran harga lingkungan RM1,000.

Pencarian di Lowyat agak menghampakan kerana Netbook yang ditawarkan berharga RM999 dan spesifikasinya agak rendah buat masa sekarang. Untuk makluman pembaca, pemproses yang terkini ialah Intel Atom N570.

Kemudian, penulis beralih pula ke Digital Mall, Petaling Jaya. Puas mencari, penulis terjumpa sebuah kedai yang menawarkan harga yang sangat berpatutan dan spesifikasinya terkini. ASUS Eee PC 1015, harganya RM999 di katalog. Penulis sengaja memberitahu belanjawan yang ada cuma RM800 sahaja. Penjual tawar RM960 siap dengan barangan percuma dan naik taraf RAM kepada 2GB. Proses tawar-menawar lagi, penulis dapat RM940. Wah! Mana nak dapat harga sebegitu murah dengan spesifikasi terkini? Di Lowyat pun tak dapat semurah itu. Tanpa melengahkan masa, penulis setuju ambil warna hitam untuk pakcik di Melaka.

Untuk model ini, terdapat dua jenis spesifikasi yang dijual; satu menggunakan pemproses Intel dan satu lagi AMD. Perbezaan antara kedua-duanya ialah Intel memenangi skor Windows Experience Index untuk pemprosesan manakala AMD berkelebihan dari segi grafik. Lihat gambar di bawah:

Ulasan ASUS Eee PC 1015

ASUS Eee PC 1015 dengan Intel Atom N570

Ulasan ASUS Eee PC 1015

ASUS Eee PC 1015 dengan AMD 50

 

Secara peribadi, penulis cenderung mengutamakan pemproses yang baik berbanding grafik untuk sesebuah Netbook. Hal ini kerana pembelian Netbook bukan untuk tujuan bermain permainan video. Sebaliknya, pemproses yang baik dapat melancarkan pelbagai kerja yang dilakukan dalam satu-satu masa (multitasking). Kalau saudara mahukan komputer riba untuk tujuan bermain permainan video, lebih elok dapatkan yang berharga RM3,000 dan ke atas serta spesifikasinya menawarkan kad grafik yang tinggi. Netbook hanya sesuai bermain permainan flash dan emulator seperti GameBoy Advance atau Neo-Geo.

Selain itu, model ini menawarkan 3 port USB, Ethernet, pembaca kad multimedia dan VGA. Kapasiti cakera keras sebanyak 250GB, 1 slot RAM (2GB DDR2 maksimum), kamera VGA dan grafiknya dikuasakan oleh Intel GMA 3150 merupakan sebahagian daripada spesifikasi yang tersedia. Walau bagaimanapun, saiz papan kekuncinya 92% daripada saiz sebenar dan pad tetikusnya sedikit melecehkan. Bunyi audio tanpa pembesar suara tambahan juga kurang memuaskan ketika menonton filem.

Walaupun jangka hayat bateri dikatakan mampu bertahan sehingga 11 jam, penulis mendapati bateri mampu bertahan sekitar 5 jam sahaja. Penulis tidak tahu bagaimana ASUS melakukan percubaan terhadap jangka hayat bateri Netbook ini.

KELEBIHAN

Pemproses dwi-teras, reka bentuk yang nipis dan menarik, harga berpatutan, ringan dan mudah dibawa serta jangka hayat bateri yang baik untuk kegunaan sehari.

 

KELEMAHAN

Saiz papan kekunci dan pad tetikus kurang mesra pengguna.

 

Mengapa penulis memilih ASUS?

Mungkin sesetengah pembaca cenderung melihat jenama sebelum membuat pilihan untuk membeli sesuatu produk. Secara peribadi, ASUS merupakan syarikat komputer dari Taiwan yang berjaya dalam industri pengkomputeran dengan penghasilan papan induk yang terbaik di dunia selain Gigabyte. Jadi, Netbook yang dihasilkan, papan induknya bukan diambil daripada jenama lain.

 

Rujukan lain

Engadget

 

*Gambar akan dimuat naik kemudian kerana tidak memiliki kamera yang baik. Harap maaf.

Previous
Next Post »

1 Komentar:

Write Komentar
Tanpa Nama
AUTHOR
Sabtu, Mei 19, 2012 9:08:00 PTG delete

netbook mkin murah..

Reply
avatar