Dilema peminat permainan video: konsol atau komputer?

Dilema peminat permainan video: konsol atau komputer?

Mungkin ada yang beranggapan isu ini sudah ketinggalan zaman. Walau bagaimanapun, penulis tetap beranggapan bahawa isunya ‘tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas’. Banyak perkara yang membezakan antara permainan video untuk komputer dan konsol. Antaranya ialah jenis kawalan, harga, spesifikasi, nilai eksklusif, ruang storan, pilihan permainan video dan lain-lain lagi. Bagi pengguna yang mempunyai belanjawan yang terhad perlu membuat pilihan sebaik mungkin dan menentukan kos lepasnya. 

Jadi, nak beli konsol atau komputer? 

KONSOL

3 pemain utama dalam pasaran konsol masa kini yang terdiri daripada Sony, Microsoft dan Nintendo. Keluaran jenama masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri dan inovasi yang diperkenalkan pula berjaya mempengaruhi pengguna membeli setiap produk yang dikeluarkan. Hal ini menjadikan peminat tegar permainan video sentiasa ternanti-nantikan setiap keluaran yang muncul. 

1. Kawalan
Setiap orang mempunyai pilihan jenis kawalan yang diminati. Sony, Microsoft dan khususnya Nintendo kebiasaannya mereka bentuk kawalan khusus konsol masing-masing seperti DualShock3, Sixaxis, Wii Remote dan Wii Balance Board. 

Dilema peminat permainan video: konsol atau komputer?
Wii Balance Board - peranti khas untuk permainan video yang berasaskan aktiviti kesihatan

Bagi genre permainan video penembak orang pertama (first-person shooter), kawalannya sedikit melecehkan. Selain itu, papan kekunci dan tetikus lebih mudah untuk menetapkan 16 butang kawalan sekaligus sebagai hotkey.

Alternatif bagi pengguna konsol yang mahukan papan kekunci ialah membeli Chatpad, yakni papan kekunci khas untuk PS3, Wii dan Xbox360. 

2. Sistem spesifikasi
Jika saudara mengutamakan paparan grafik yang lebih baik, pastinya konsol tidak dapat memenuhi kehendak tersebut. Namun begitu, belanjawan yang diperlukan untuk membina sesebuah set komputer memenuhi spesifikasi terkini memerlukan modal yang banyak. Secara kasarnya, spesifikasi komputer rendah (low-end) dalam lingkungan RM1,500 manakala spesifikasi komputer tinggi (high-end) boleh mencecah sehingga RM5,000 dan ke atas. 

Itu belum termasuk lagi dengan kos pemilihan kad grafik yang baik, kad audio dan pembesar suara yang lunak bunyinya dan RAM tambahan. Perlu diingatkan juga, visual monitor yang baik memerlukan pembelian monitor berdefinisi tinggi (HD).

Walhal, pada masa yang sama kos spesifikasi komputer rendah sebanyak RM1,500 sudah memadai untuk memiliki sebuah PS3, Xbox 360 atau Wii.

3. Isu-isu teknikal 
Konsol kurang dibebani dengan isu-isu teknikal sebagaimana yang berlaku kepada komputer seperti lag dan serangan virus. Selain itu, kemunculan ralat yang tidak dijangka di dalam produk akhir menyebabkan pelbagai masalah timbul.  


Dilema peminat permainan video: konsol atau komputer?

Contohnya, permainan video Skyrim yang dilancarkan pada November lalu tidak dapat dimainkan oleh pengguna komputer sedangkan pengguna konsol pula boleh bermain dan telah berjaya membunuh naga yang pertama dalam permainan tersebut.

4. Sosial
Bermain mod pelbagai pemain dalam World of Warcraft dan DOTA di komputer kurang menekankan nilai persahabatan. Walaupun saudara bermain dengan orang lain dalam satu kumpulan, tetapi saudara tidak mengenali siapakah orang tersebut dengan lebih dekat. Berbeza dengan permainan video Super Smash Bros, MotorStorm: Apocalypse atau Gears of War, suasana lebih meriah dengan kehadiran kawan-kawan dan boleh merai kemenangan dengan menikmati piza dan minuman ringan. 

5. Nilai eksklusif
Beberapa permainan yang dihasilkan untuk konsol tidak dikeluarkan untuk komputer demi menjaga nilai esklusif sesebuah konsol. Antaranya ialah Halo yang diterbitkan oleh Microsoft. Selain itu, permainan video daripada Nintendo sudah pasti mustahil dapat dimainkan di komputer. Walaupun saudara boleh bermain di komputer dengan menggunakan emulator namun nikmatnya tetap tidak sama seperti di konsol yang sebenar.   
 

KOMPUTER

Apabila kita memperkatakan permainan video berbentuk individu dan MMORPG, komputer adalah juara! Walaupun pembikin besar permainan video sudah melupakan sejenak penghasilan untuk permainan video komputer, namun hasilan tetap dibuat untuk memenuhi selera peminat komputer.
Bagi pengguna, permainan video di komputer menawarkan kelebihan dari segi pilihan, kawalan, harga, ruang storan dan isu-isu teknikal. 

1. Pilihan
Penghasilan permainan video untuk pelantar komputer tidak sama seperti di konsol. Tiada pemonopolian permainan-permainan video tertentu sama ada daripada Microsoft atau Apple semata-mata. Hal ini menjadikan pilihan permainan video lebih meluas dari tajuk popular hinggalah yang indie. Berbeza pula dengan konsol, pilihan yang terhad dengan pasaran tunggal daripada penerbit tertentu sahaja. Hal ini menyebabkan pilihan tajuk menjadi kecil untuk bersaing. 


2. Kawalan
Dilema peminat permainan video: konsol atau komputer?

Semua permainan boleh dimainkan dengan adanya papan kekunci dan tetikus. Pengguna tidak perlu lagi untuk membeli gajet tambahan untuk bermain seperti papan tarian. Selain itu, kawalan Xbox juga boleh dipasang untuk gaya kawalan yang berbeza dan disokong oleh pelbagai permainan. Kebanyakan permainan video untuk komputer boleh diubah semula cara kawalannya sesuai dengan cita rasa masing-msaing dan pengguna kelainan upaya.  

3. Harga
Pembangun permainan video tidak perlu membayar yuran pelesenan untuk pembuat konsol jika menyiarkan hasilan produk mereka di platform komputer. Persaingan daripada pelbagai tajuk menjadikan jualan hebat yang menguntungkan pemain berbanding permainan video konsol yang mengambil masa lama untuk dijual. Tambahan pula, ketiadaan pasaran cetak rompak untuk PS3 dan Wii menjadikan harga permainan video membebankan pengguna. 

4. Ruang storan
Mahukan ruang storan lebih besar? Inilah kelebihan untuk komputer. Malangnya, Sony dan Microsoft mengenakan bayaran yang keterlaluan untuk pemacu keras yang terlalu kecil manakala Nintendo pula meminta orang ramai bergantung dengan kad SD. Harga cakera keras kini terlalu murah untuk 1TB.

5. Isu-isu teknikal
Soal naik taraf yang memerlukan modal yang besar tidak dapat disanggah oleh penulis. Namun begitu, naik taraf cuma berlaku selepas 5 hingga 8 tahun supaya spesifikasi sesuai dengan kehendak semasa. Sekurang-kurangnya masalah yang berlaku dalam komputer boleh dihantar ke kedai berhampiran untuk diperbaiki. Jikalau konsol mahu dihantar ke mana?

RUMUSAN

Kedua-dua platform ini memberikan pilihan pelbagai kepada pengguna. Tidak semestinya permainan video untuk platform komputer lebih baik daripada platform konsol ataupun sebaliknya. Masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri. Yang pasti, penulis berpandangan bahawa genre strategi, penembak orang pertama, bola sepak dan MMORPG lebih baik di komputer manakala arked, pertarungan, perlumbaan kereta dan pengembaraan lebih baik di konsol.

Terpulang kepada empunya badan. Ada ongkos, semua jadi.
Previous
Next Post »

2 Komentar

Write Komentar
Tanpa Nama
AUTHOR
Sabtu, Oktober 08, 2011 9:24:00 PTG delete

pc makan duet byk.. xlarat nk upgrand

Reply
avatar
Tanpa Nama
AUTHOR
Ahad, Oktober 09, 2011 12:01:00 PTG delete

berape harga psp and wii skrg?? area selangor..

Reply
avatar