Tips memanjangkan jangka hayat bateri komputer riba

Bateri komputer riba akan menyusut prestasinya setelah mencapai 2 tahun. Jika bateri saudara masih mampu bertahan lebih daripada tempoh tersebut, ianya merupakan bonus dan saudara tidak perlu membuang duit untuk membeli bateri yang baharu.

 

Microsoft telah membuat analisis kaitan antara perkakas, penggunaan tenaga dan bateri. Berikut merupakan peratusan perkakas yang banyak menyusutkan bateri semasa menggunakan komputer riba:

Peratusan perkakas mempengaruhi susutan bateri

Oleh yang demikian, Teknomasi ada beberapa cadangan kepada pengguna komputer riba supaya dapat mengoptimumkan penggunaan bateri dalam tempoh yang lebih lama.

 

Selain perkakas yang dinyatakan di atas, terdapat satu perkara lagi yang tidak difokuskan iaitu penggunaan perkakas tambahan seperti tetikus USB, pemain DVD luaran, cakera keras luaran dan sebagainya. Hal ini kerana penggunaan perkakas tambahan akan mempercepatkan lagi proses ‘pembunuhan’ bateri sesuatu komputer riba.

 

Jadi, bagaimanakah cara ideal untuk menangani permasalahan ini?

 

1. Ubah tetapan pelan bateri

(a) Klik Start > Control Panel > System and Security > Power Options > Power Saver

Pilihan pelan kuasa

Apabila tiada sebarang aktiviti, paparan akan dipadamkan untuk menjimatkan kuasa.

 

Untuk pengguna berat atau tempoh masa yang lama:

 

(b) Klik Start > Control Panel > System and Security > Power Options > Power saver > Change plan settings > Change advanced power settings

 

Tetapan kuasa lanjutan

Maksimumkan hayat bateri dengan cara mengubah tetapan cakera keras supaya cepat dipadamkan, menggunakan kuasa yang rendah untuk penyesuai wireless, pemproses dan khususnya grafik kad saudara.

 

Selain itu, tentukan juga di bahagian Processor power management:

  • Minimum processor state: On battery (5%), Plugged in (5%)
  • Maximum processor state: On battery (70%), Plugged in (100%)

 

Ianya akan mengawal laju-perlahan kipas pemproses berdasarkan suhu seterusnya membantu mengurangkan susutan nyawa bateri.

 

2. Ubah tetapan kadar kecerahan LCD

Berdasarkan carta pai di atas, lebih kurang separuh penyusutan bateri disebabkan oleh panel LCD. Oleh itu ubah atau rendahkan kadar kecerahan skrin. Kemudian, tutup fungsi screen saver dan Aero glass 

Menu Personalize

(a) Klik kanan pada latar belakang > Personalize

(b) Pilih tema di bahagian Basic and High Contrast Theme dan Screen saver: None

 

3. Memaksimumkan penggunaan kuasa pada perkakas

Menutup peranti yang tidak digunakan

Tutup peranti yang tidak digunakan seperti wireless, bluetooth, kamera web dan lain-lain lagi yang seumpama dengannya. Lakukan secara manual di Control Panel. Peranti yang terpasang akan menyusutkan hayat bateri.

 

Pastikan juga ram yang ada mencukupi untuk melakukan tugasan tertentu. Sekiranya saudara selalu melakukan pelbagai tugasan pada satu-satu masa atau multitasking, ram sangat mempengaruhi prestasi. Contohnya, melayari internet, dengar lagu dengan Windows Media Player, menaip dengan Microsoft Word dan memuat turun video sekaligus. Ram 2GB adalah keperluan minimum manakala 4GB adalah standard hari ini.

 

4. Tutup servis dan proses yang beroperasi secara tidak langsung

Kemas kini Windows secara automatik, pencarian fail, Aero Glass, desktop gadget dan sebagainya menggunakan bateri secara tidak langsung. Oleh itu, saudara perlu menghalang servis dan proses yang tidak diperlukan. Sekiranya mahu cara mudah untuk menanganinya, muat turun dan pasang sahaja Aerofil. Pasti membantu.

 

5. Gunakan mode hibernasi apabila perlu

Mode ini akan membenarkan komputer riba  mengurangkan penggunakan kuasa sekiranya tidak menggunakan komputer riba seketika. Jika lebih daripada sejam, gunakan Sleep.

 

6. Cegah daripada haba dan kepanasan

Komputer riba yang boleh memasak telur goreng. Hebat!

Haba dan persekitaran panas boleh memendekkan hayat sesebuah bateri dalam jangka masa yang panjang. Gunakan pad penyejuk yang berjenama seperti Cooler Master dan Zalman untuk menyejukkan komputer riba yang digunakan.

 

Dalam situasi yang lain pula, binaan model Compaq CQ40 pernah dikritik hebat oleh pengguna kerana cepat panas walaupun baru menggunakan selama 10 minit. Dikatakan bahawa susunan perkakasan dalaman yang tidak kemas oleh jurutera menyebabkan udara panas tidak dapat dikeluarkan dengan efektif. Secara peribadi, model Asus terkini menggunakan teknologi yang tersendiri untuk menyejukkan sistem sekalipun lama digunakan.

 

Kemudian, pastikan arah udara panas keluar dari arah mana sama ada bawah ataupun tepi. Jikalau udara keluar dari bawah, maknanya saudara memerlukan pad penyejuk. Juga, saudara tidak boleh menggunakan komputer riba di atas katil kerana dikhuatiri udara panas terperangkap atas tilam dan menyebabkan haba terkumpul.

 

Semua tips yang dikemukakan hanya sebagai cadangan semata-mata. Keberkesanannya bergantung kepada pelbagai faktor. Sekiranya saudara punya cara tersendiri untuk memanjangkan hayat bateri komputer riba boleh muatkan di ruangan komentar untuk manfaat semua.

Previous
Next Post »