Panduan Membeli Televisyen 2013

Panduan Membeli Televisyen 2013

Penulis masih teringat televisyen di rumah datuk. Saiznya besar, berat, terdapat beberapa butang saluran dan antena boleh laras di belakangnya. Tidak lama selepas itu, TV dikawal dengan remote muncul. Pengguna tidak perlu lagi bangkit dari tempat duduk untuk mengubah saluran lain. Kini, perkembangan teknologi merubah dunia TV. Produk muncul dengan skrin nipis, lebih jimat tenaga, menyokong pelbagai fungsi dan skrinnya boleh disentuh.

 

Antara opsyen pilihan TV pengguna ialah LED, Plasma, OLED dan Ultra HD. Harga pun tidak murah, bermula sekitar RM800 untuk saiz 32 inci. Bagi TV kategori high-end display pula, harganya boleh mencecah sehingga mampu biaya sebuah kereta kompak. Bak kata pepatah, “Ukur baju di badan sendiri”, terpulang kepada saudara untuk memilih yang mana satu TV diingini.

 

Teknologi Televisyen

TV sekarang banyak menggunakan teknologi LED/LCD untuk mencapai paparan beresolusi tinggi. Hal ini menyebabkan gambar di paparan skrin menjadi lebih tajam dan menjimatkan tenaga berbanding model CRT (TV petak). Tambahan pula, pengenalan TV OLED organic light-emitting diode - menawarkan gambar yang lebih cerah dan tajam daripada TV LED/LCD.


Selain itu, TV pintar membolehkan akses terus internet menerusi WiFi untuk membuka Facebook, muat turun filem dan penstriman video Youtube. Kewujudan perkhidmatan Hulu, Pandora dan Neflix memberi kemudahan kepada pengguna membeli rancangan yang diingini tanpa perlu risau menonton di waktu hujan.

 

Jika sebelum ini, paparan 3D boleh ditonton di wayang sahaja. Kemunculan TV 3D memberi peluang kepada kaki wayang menghasilkan panggung sendiri di rumah. Tambahan pula saluran ESPN menyediakan rancangan sukan dengan paparan 3D untuk menarik minat pelanggan mereka. Namun begitu, ramai yang mengkritik TV 3D kerana perlu ditonton dengan memakai kaca mata 3D. Hal ini pasti menyusahkan pengguna yang memakai kaca mata semasa menonton.

 

Pemahaman jenis-jenis TV

 

1. TV LED/LCD

Set TV ini menawarkan pilihan pelbagai saiz, harga dan fungsi kepada pengguna. Model ini biasanya nipis dan ringan. Jadi, saudara boleh memasang TV LED di mana-mana sahaja ruang yang diingini waima dapur atau bilik mandi. Dari segi gambar, kualitinya tidak jauh beza dengan TV Plasma. Kekurangan ketara bagi TV LED ialah apabila menonton bola sepak. Paparan gambar semasa objek bergerak pantas kurang memuaskan.

 

2. TV Plasma

TV Plasma merupakan pilihan terbaik untuk penonton filem dan sukan. Hal ini kerana bahan yang digunakan untuk membina TV Plasma membolehkan piksel dihidup dan dimatikan lebih pantas daripada TV LED. Penonton dapat melihat adegan filem seram dengan lebih terperinci. Peminat sukan akan berpuas hati dengan perlawanan yang ditonton pada penghujung minggu. Walau bagaimanapun, masa depan TV Plasma menjadi persoalan besar apabila Panasonic akan memberhentikan pengeluarannya pada hujung tahun ini. Barangkali kelemahan paparan TV Plasma di ruang bercahaya dan hari cerah menyebabkan gambar kurang jelas, berat dan tebal menjadi faktor pengeluaran dihentikan.

 

3. TV Ultra HD

TV Ultra HD juga dikenali sebagai 4k. Harga yang mahal mencecah RM17,000 untuk skrin bersaiz 55 inci menjadikan model yang kurang dibeli pelanggan melainkan saudara mementingkan spesifikasi dan prestasi sesebuah televisyen. TV Ultra HD menawarkan paparan piksel 4 kali lebih besar, tajam dan terperinci sehingga beresolusi 3,840 × 2,160 piksel berbanding TV biasa. Objek kecil lebih terperinci, teks mudah dibaca dan imej lebis halus di skrin. Namun begitu, kurang daripada 100 rancangan TV dan filem yang mengoptimumkan HD oleh penyiar televisyen. Masih berbaloi untuk dibeli?

 

4. TV OLED

Masih cerita yang sama seperti TV Ultra HD. Terlalu mahal dan lebih sesuai untuk industri. Kualiti gambar paling baik berbanding TV Ultra HD kerana penggunaan OLED. OLED memberikan pencahayaan pada warna di skrin bersendirian menjadikan gambar lebih terang dan berwarna jika dibandingkan dengan LED. Buat masa ini harganya masih tidak munasabah untuk dibeli melainkan pengeluar lain melambakkan TV OLED di pasaran pada masa akan datang. Harga yang mahal juga belum tentu menawarkan kesempurnaan pada model ini. Dikatakan ‘imej berhantu’ timbul apabila paparan gambar statik terlalu lama.   


Bagaimana Memilih TV?

1. Peminat permainan video - TV Plasma

2. Peminat sukan - TV Plasma

3. Pilihan TV terbaik untuk bilik atau ruang yang cerah - TV LCD atau OLED

4. Pembelian TV yang berbaloi dengan wang - TV yang menyokong definisi tinggi HD yang bersaiz 40 hingga 46 inci. Anggaran bermula dari RM2000.

5. Saiz TV - bergantung kepada bilangan penonton atau ahli keluarga dan belanjawan sendiri. TV 55” merupakan pilihan terbaik untuk diletakkan di ruang tamu.

Previous
Next Post »