Tutorial: Mampat dan ekstrak fail

Pada awal tahun 2000, pemacu pen (pendrive), kad memori dan cakera keras luaran (external hard disk) belum lagi popular. Walaupun cakera padat (CD) dan cakera digital serba guna (DVD) telah diterima pakai dalam kalangan masyarakat, ramai cenderung menggunakan disket untuk menyimpan fail, data dan maklumat. Disket bersaiz 3 ½ inci (90mm) ini cuma memiliki ruang storan yang agak terhad iaitu 1.44MB sahaja.

Ketika itu, saya sangat teruja bermain permainan video daripada SNES, Gameboy, Gameboy Color (GBC) dan Gameboy Advance (GBA) di komputer dengan rom dan emulator. Hendak membeli gajetnya malangnya tidak berduit selain mencecah ratusan ringgit. Tambahan pula, di internet boleh dimuat turun secara percuma.

Maka, saya selalu menghabiskan masa berjam-jam di kafe siber untuk mendapatkan rom permainan yang terbaharu dan dibawa pulang ke rumah untuk bermain. Dengan berbekalkan duit dan berkeping-keping disket, saya memulakan operasi di sebuah kafe siber berhampiran rumah. Untuk makluman, saiz sesebuah rom GBA kebiasaannya antara 3MB hingga 6MB. Paling besar, ada mencecah 9MB seperti Final Fantasy Tactics.

Cuba bayangkan fail tersebut saiznya 6MB. Oleh yang demikian, saya terpaksa memampatkan (compress) dan membelah (split) fail kepada 6 bahagian supaya dapat dimuatkan dalam 6 keping disket. Kalau nasib tidak baik, fail yang dibawa pulang ke rumah adalah fail rosak (corrupt). Hahaha…kenangan lama menjelma semula tatkala menulis artikel ini.


Jadi, caranya adalah seperti berikut:
  1. Dapatkan satu daripada perisian WinRAR, WinZip atau 7-Zip.
  2. Pasang dalam komputer. Saya memilih untuk menggunakan perisian WinRAR.

Proses memampat fail kepada zip:

Langkah 1 - cara mudah dan pantas
  1. Masukkan fail-fail yang ingin dimampat menjadi zip ke dalam satu fail (folder) yang baharu.
  2. Klik kanan pada fail tersebut, saudara akan dapat perhatikan fungsi zip sudah ditambah pada menu.
  3. Klik 'add to “nama_fail_anda.rar”'
  4. Fail zip saudara sudah siap!

Langkah 2 - ubah nama zip, pilih jenis pemampatan dan masukkan kata laluan
  1. Masukkan fail-fail yang ingin dimampat menjadi zip ke dalam satu fail (folder) yang baharu.
  2. Klik ‘add to archive…’
  3. Pada tab ‘General’, masukkan nama fail baharu (jika mahu mengubahnya) di ruang archive name.
  4. Pilih jenis pemampatan di ‘compression method’. Terdapat 6 pilihan: Store, Fastest, Fast, Normal, Good dan Best.
  5. Pada tab ‘Advanced’, klik set password. Masukkan kata laluan yang sama di ruang enter password dan reenter password for verification.
  6. Tandakan pada show password jika mahu memaparkan kata laluan fail zip tersebut kepada umum.
  7. Jika selesai, tekan OK.

Langkah 3 - Membelah zip saiz besar kepada beberapa bahagian kecil
*untuk tujuan muat naik di MediaFire atau ruang terhad seperti disket
  1. Masukkan fail-fail yang ingin dimampat menjadi zip ke dalam satu fail (folder) yang baharu.
  2. Klik ‘add to archive…’
  3. Pada tab ‘General’, pilih jenis belahan di split to volumes, bytes. Terdapat 5 pilihan: 3.5”: 1457664 (disket), Zip 100: 98078kb, CD 700: 700MB, DVD+R: 4481MB dan autodetect.
  4. Tekan OK.


Proses mengekstrak zip kepada fail:
*masukkan kata laluan bilamana diminta

Langkah 1 - mudah
  1. Klik kanan pada nama_fail_anda.rar
  2. Tekan Extract here. Siap!


Langkah 2 - zip yang dibelah kepada beberapa bahagian kecil
  1. Masukkan nama_fail_anda.part1.rar, nama_fail_anda.part2.rar, nama_fail_anda.part3.rar dan seterusnya dalam satu fail.
  2. Tekan Extract here. Siap!


Langkah 3 - tentukan lokasi ekstrak

  1. klik kanan. Pilih extract files...
  2. Tentukan lokasi zip yang bakal diekstrak ke lokasi di destination path
  3. Tekan OK
Selamat mencuba.

Sekiranya terdapat sebarang masalah atau kemusykilan, maklumkan di ruang komen. Insyallah, akan dibalas segera. Gambar akan disertakan kemudian. Sekian.
Previous
Next Post »